Isnin, 2 Februari 2009

Urus ketagihan

TERAPI Penggantian Dadah? Kenapa perlu ada program yang menggalakkan penagih terus mengambil dadah? Bukankah kita perlu satu program yang benar-benar berkesan boleh menghentikan penagihan? Kenapa perlu membazir membekalkan dadah gantian kepada penagih?Ini antara persoalan yang timbul apabila membincangkan isu terapi penggantian dadah (DST) kerana ramai beranggapan ia menggalakkan lagi penagihan. Sebenarnya DST adalah contoh rawatan yang boleh membantu menguruskan masalah ketagihan.Matlamatnya ialah membolehkan pesakit menguruskan simptom penyakit dan mengawal ketagihan. Ia memberi tumpuan pada usaha memulihkan diri dan mengekalkan rawatan supaya penagih dapat memperoleh kehidupan semula.Ketagihan opiat (seperti heroin) adalah masalah perubatan kronik yang berulang dan pesakit (penagih) memerlukan rawatan jangka panjang dan sokongan. Dalam program DST, pesakit diberi ubat preskripsi untuk tempoh tertentu bagi membantu pesakit mengawal gejala ketagihan. Ini membolehkan mereka meneruskan kehidupan, aktiviti harian dan bekerja seperti orang lain.
Ubat yang diberi memainkan fungsi penting untuk menguruskan kesan jangka pendek dan panjang ketagihan opiat. Dalam jangka masa pendek, ubat memberi kelegaan peringkat awal terhadap keinginan mengambil dadah dan mengurangkan gejala ketagihan pengambilan heroin atau jenis opiat lain dihentikan.
Sasaran seterusnya ialah pengurangan dos ubat yang diberi kepada pesakit. Pada umumnya pesakit diberi dos lebih rendah dalam satu tempoh dan jika ia didapati berkesan, dos ini dikurangkan secara perlahan-lahan sehingga dapat dihentikan sepenuhnya.Menurut Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM), Dr Steven Chow, bagi setiap penagih berdaftar, ada dua atau tiga lagi yang tersembunyi, menjadikan jumlah penagih dadah di negara kita antara 350,000 hingga 900,000 orang.Statistik Pertubuhan Pencegahan Jenayah menunjukkan heroin dan dadah simulasi amfetamin paling banyak digunakan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan ada 13.5 juta pengguna dadah opiat di seluruh dunia dan 9.2 juta daripada mereka menagih heroin.“Sememangnya pencegahan adalah kaedah terbaik tetapi bagi yang terjebak, bantuan perlu diberi supaya mereka boleh kembali menjalani kehidupan normal. Bantuan ini tidak sekadar kepada penagih, malah memberi pendidikan dan dorongan kepada ahli keluarga, saudara mara, rakan dan doktor untuk menggalakkan penagih menjalani rawatan,” kata Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Yale, Dr Mahmud Mazlan pada pelancaran program Jiwa Baru.Kempen Jiwa Baru anjuran bersama AMAM, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Schering-Plough bertujuan mengatur hala tuju baru untuk penagih dengan mengetepikan tanggapan buruk yang sering dikaitkan dengan penagihan dadah.Hingga kini penagih dadah masih dilihat sebagai individu yang lemah jiwanya, mementingkan diri, tidak bermoral dan berdisiplin serta punca pelbagai masalah sosial. Tanggapan negatif dan penolakan masyarakat menyebabkan ramai kembali menagih kerana mereka dipulaukan serta tiada tempat mengadu.Kebergantungan opiat adalah masalah serius dan perlukan rawatan. Malah, ketagihan opiat dikategorikan sebagai masalah perubatan. Mengapa? Seperti ubat tahan sakit atau heroin, opiat melekat pada reseptor (sel yang mengesan perubahan) opiat di otak dan merangsang penghasilan dopamin yang akan menyebabkan perasaan gembira.Apabila opiat ‘tertanggal’ daripada reseptor, individu berkenaan mengalami gejala ketagihan. Dalam keadaan ini, otak individu yang mengambil opiat seolah-olah diprogram semula dan menganggap dadah itu perlu untuk meneruskan hidup.Penyelidik mendapati banyak jenis dadah, termasuk opiat, menyebabkan perubahan jangka panjang pada otak. Perubahan ini mengakibatkan ramai masih berasa ketagih walaupun beberapa tahun berhenti mengambil dadah.“Bekas penagih yang tidak mendapat sokongan keluarga lebih cepat kembali menagih. Ini hendak kita elak kerana rawatan semata-mata tidak mencukupi. Pesakit perlukan sokongan moral masyarakat untuk pulih sepenuhnya.“Penagihan dadah adalah masalah perubatan yang perlu dirawat di klinik. Sehingga kini 528 klinik di seluruh negara menyertai program ini yang menyediakan rawatan mengatasi ketagihan kepada lebih 16,545 pesakit,” katanya.Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Yen Teck Hoe, berkata kejayaan rawatan bukan saja bergantung kepada pengambilan ubat, tetapi turut dipengaruhi penerimaan pesakit daripada segi emosi dan galakan, sama ada daripada keluarga atau pusat kaunseling.Dalam program Jiwa Baru, beberapa ubat digunakan untuk merawat ketagihan seperti metadon (diambil 50 hingga 60 miligram sehari) dan buprenorfin (12 miligram sehari).Antara kaedah terbaru ialah penggunaan tablet sublingua Suboxone yang mengandungi buprenorfin dan naloxone yang hanya perlu diletak di bawah lidah.Ia memberi kesan maksimum dan tidak mendatangkan bahaya jika diambil pada dos tinggi kerana kesannya mendatar pada dos tertentu. Maknanya pada dos tinggi pun, kesan dialami pesakit sama seperti dos lebih rendah.Malah, ia memberi peluang penagih opiat untuk bertukar lebih awal ke rawatan di rumah dengan mengambil dos ubat lebih rendah dan menjimatkan kos pembekal perkhidmatan kesihatan pada jangka masa panjang.Penggunaannya membolehkan pesakit merancang masa lebih baik kerana mereka hanya perlu datang ke klinik setiap dua hari atau tiga kali seminggu.Selain ubat, pesakit diberi terapi psikososial yang mengajar cara menahan diri daripada mengambil dadah, memberi tumpuan kepada cara mengurang atau menghentikan penggunaan dadah, membina semangat dan memahami fungsi ubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan